Klik-klik la ~My Nuffnang

Thursday 10 January 2013

Potty Training

MELATIH ANAK MENGUNAKAN TANDAS [SELAMAT TINGGAL LAMPIN]
by Persatuan Ibu-Ibu Muda Muslim on Saturday, April 14, 2012 at 8:39am ·
Bagaimana dan bila masanya untuk melatih anak menggunakan tandas
Oleh Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik

Tidak perlu dipersoalkan lagi bahawa bayi sememangnya comel, daripada pipi mereka yang montel hingga ke jari-jarinya yang kecil. Apabila anda melihat tumbesaran yang pantas pada bayi anda yang berumur tiga bulan, anda mungkin teringin agar ianya kekal lebih lama sedikit sebagai bayi-tetapi hanya jika anda tidak perlu menukar lampinnya buat masa yang lebih lama lagi! Ini adalah satu-satunya perkara yang ibu bapa sebulat suara ingin mengatasi dengan lebih awal lagi, supaya bebas daripada kotoran najis bayi dan kebosanan kerana kerap menukar lampin. Ini tidak termasuk kos lampin pakai buang yang semakin meningkat.
Bila masanya untuk mula melatih anak anda menggunakan tandas


Tidak ada umur yang tertentu untuk melatih anak menggunakan tandas. Sesetengah budaya memulakannya pada peringkat umur yang sangat awal, terdapat juga yang bermula seawal-awal beberapa minggu selepas lahir. Untuk kebanyakan orang, terutamanya di Barat, melatih anak menggunakan tandas biasanya bermula apabila anak itu menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sudah bersedia. Ini mungkin pada bila-bila masa di antara 18 bulan dan tiga tahun.

Bagaimana saya tahu bahawa anak saya sudah bersedia untuk dilatih tandas?

Anda boleh mula melatih anak anda menggunakan tandas sebaik sahaja dia mampu duduk di atas bekas. Ini boleh dilakukan pada waktu mandi. Jika dia sudah bersedia, dia akan ingin duduk di atas tandas sehinggalah dia dapat mengeluarkan air kencing; sebaliknya, dia mungkin juga akan duduk beberapa saat sahaja, ataupun tidak ingin duduk langsung. Sekiranya dia tidak menunjukkan minat untuk duduk diatas tandas, usahlah memaksa; sebaliknya cuba sekali lagi pada hari lain.

Tanda-tanda sudah bersedia termasuk:
Kebolehan untuk memberitahu bahawa dia telah mengotorkan lampinnya. Secara umum, kanakkanak belajar untuk membuang air besar di dalam tandas sebelum membuang air kecil. Lagi memudahkan ialah jika mereka adalah jenis yang tidak tahan dengan bau busuk dan najis di dalam lampin mereka.

Perubahan raut muka, terutamanya sebelum buang air besar. Ini membolehkan anda melatih dia duduk di tandas dengan lebih awal lagi.

Kebolehan untuk mengekalkan lampin kering selama beberapa jam. Ini menunjukkan pundi kencing dapat dikawal dengan lebih baik dan membolehkan anda mengaturkan masa untuk membawanya ke tandas.

Kebolehan untuk memberitahu keinginannya secara bercakap atau menunjuk dengan jari.
Peralatan untuk melatih anak menggunakan tandas Jika dibandingkan dengan perkakas yang anda perlukan untuk menukar lampin, barang keperluan untuk melatih anak anda menggunakan tandas adalah ringkas:
Tandas mudahalih plastik yang ringan dan boleh dibasuh. Pastikan tiada bahan tajam, contohnya bekas mengacu di tepi bingkai yang boleh mencederakan bayi.
Kertas tandas dan tuala kertas
Alas tilam yang boleh menyerap
Air
Kesabaran

Bahagian 1:

Ini Adalah Tandas

Sebelum mengajar anak anda bagaimana dan bila masanya untuk menggunakan tandas, terlebih dahulu anda perlu memperkenalkannya kepada anak anda. Biasakan anak anda dengan tandas dengan meletakkannya di bilik air dan membenarkannya duduk diatas tandas itu beberapa kali sehari. Biarkan dia duduk di atasnya dengan memakai lampin dan seluar supaya dia berasa selesa dengan keadaan tersebut.

Bahagian 2:

Apakah Fungsi Tandas


Beritahu anak anda kegunaan tandas dan berikan dia galakan untuk menggunakannya. Perhatikan tandatanda yang menunjukkan bahawa dia ingin buang air, kerana kemungkinan dia tidak sedar lagi bahawa sepatutnya menggunakan tandas. Lebihkan perhatian terutamanya selepas makan, minum dan tidur. Setiap kali dia menggunakan tandas, bantulah dia untuk duduk dengan betul supaya zakar atau kemaluannya masuk ke dalam dan tidak tersasar.

Bahagian 3:

Tidak Mengapa Jika Membuat Kesilapan

Janganlah marah atau berleter jika dia terkencing atau terbuang air besar merata-rata. Dia tidak lakukan kerana ingkar, dia hanya tidak faham dengan konsep baru itu. Bersihkan secepat mungkin, dan nasihatinya dengan lembut supaya menggunakan tandas pada masa yang akan datang. Bersabar dan ulanginya sebanyak yang mungkin sehingga dia ingat. Jika anda tidak ingin dia mengotori seluarnya pada peringkat ini, tetapi tidak juga mahu dia bergantung pada lampin, maka belilah seluar pakai buang yang boleh menyerap (seperti lampin pakai buang yang mempunyai cerut di bahagian pinggang) atau biar sahaja dia tidak pakai apaapa. Pilihan pertama lebih sesuai sekiranya anda menjemput tetamu kerumah!

Bahagian 4:

‘Sekarang’ Tidak Bermaksud ‘Sekarang Juga’

Jika dia duduk di atas tandas dengan senang hati, tetapi lantas bangun tanpa membuat apa-apa, galakkan dia untuk duduk dengan lebih lama lagi. Lima minit sepatutnya mencukupi bagi anda mengagak sama ada dia melengahlengah atau sememangnya dia tidak terasa hendak buang air. Sekiranya dia hendak bangun dan bermain, berikan dia alat mainan atau berbual-bual dengannya supaya dia tidak berasa bosan. Jika selepas beberapa minit tiada apa-apa berlaku, biarkan dia bangun dari situ dan pastikan dalam masa setengah jam kemudian sama ada dia perlu menggunakan tandas atau tidak.
Bahagian 5:

Apabila Dia Melakukannya Dengan Betul

Anda pasti gembira apabila anak anda berjaya menggunakan tandas dengan betul. Tunjukkan kegembiraan anda kepada anak anda dengan kata-kata pujian dan ciuman. Biarkan dia menyambung apa yang dia sedang bermain sebelum menggunakan tandas selepas anda menyucinya. Kegembiraan anda akan mendorongnya untuk terus menggunakan tandas dengan betul.

Jika ia Tidak Menjadi

Anda mungkin dapati anak anda tidak sempat duduk tandas, atau lupa sama sekali kegunaannya. Dalam kes seperti ini, lebih baik anda pakaikan semula lampin untuk seminggu dua sebelum mencubanya sekali lagi.
Kekal kering Pada Waktu Malam

Apabila anak anda berjaya menggunakan tandas pada siang hari, dan tidak membasahi lampinnya pada waktu malam selama tujuh malam berturut-turut, anda boleh cuba menanggalkan lampin pada malam hari. Sesetengah orang menganjurkan anak mereka untuk tidur dengan tidak memakai apa-apa di bahagian bawah pada tahap ini, supaya dia akan sedar jika dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Jika anda kurang selesa dengan cara ini tetapi inginkan anak tidur tanpa lampin, anda boleh memberinya seluar pakai buang. Ia merupakan kombinasi di antara seluar dalam dan lampin. Ini akan memberi mereka perasaan bagaikan memakai seluar dalam seperti orang dewasa, dan keselamatan seperti lampin.

Akhir sekali, elakkan daripada membanding anak anda dengan anak-anak yang lain, terutamanya di hadapan mereka. Kanak-kanak berkembang pada tahap yang berbezabeza; berkat kesabaran dan galakkan, anak anda juga akan berjaya menikmati hidup tanpa lampin.

Like · · Share
45 people like this.
30 shares

No comments:

Post a Comment